Tips Meningkatkan Motivasi Kerja


UNTUK menjadi cemerlang di tempat kerja, anda perlu berada dalam keadaan yang paling bersedia dan bersemangat.  Dan untuk menjadi begitu bertenaga dan dipenuhi semangat pula anda harus mempunyai motivasi kerja yang tinggi.
tip motivasi kerja
Seandainya motivasi dalaman anda berada dalam keadaan optimum, segalanya nampak berada di tempatnya termasuklah kecemerlangan dan kualiti kerja terbaik. Jadi bagaimanakah kita boleh memotivasikan diri di tempat kerja?

Berikut enam tips meningkatkan motivasi kerja:
- Hasilkan momentum awal -
Cara memulakan hari akan mempengaruhi keseluruhan hari. Amat digalakkan memulakan hari dengan sesuatu yang ‘boom’. Anda mesti menyediakan mental untuk menyinar di tempat kerja sebaik sahaja bangun daripada katil pada hari tersebut. Kemudian cuba kekalkan momentum tersebut sepanjang masa sehingga sekurang-kurangnya tengahari.
Ini pasti akan memberi perbezaan besar. Memang tidak diragukan lagi.  Cuba paksa diri untuk melakukan kesemua tugas yang sepatutnya dilakukan pada hari ini. lebih cuba paksa lagi ketika orang lain sudah hampir kehabisan tenaga. Ia ibarat anda memecut pantas ketika orang sudah kepenatan di dalam perlumbaan. Inilah yang akan membezakan anda daripada orang lain!

- Fikirkan gaji anda -
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila gaji yang perolehi adalah salah satu daripada motivasi kerja yang kuat. Bagaimanapun, sampai kepada suatu masa kita seolah-oleh melupakan ‘motivasi kerja yang besar’ ini dan apa yang sudah diberikannya kepada kita selama ini! Jadi ingatkan diri sendiri berapa banyak gaji yang anda perolehi daripada pekerjaan sekarang dan jangan lupa juga memikirkan apakah yang bakal anda lakukan dengan gaji pada bulan ini. Anda pasti tambah bersemangat semula.
Sekiranya anda memang berkerja di dalam suasana dimana andalah penentu berapa gaji anda, misalnya usahawan atau jurujual. Maka gaji akan menjadi motivasi kerja paling utama untuk melakukan kerja lebih bagus dan lebih baik daripada sesiapa pun jua di dunia ini.

- Fokus pada perkembangan jangkamasa panjang -
Tidak kira apa pangkat yang anda sedang sandang sekarang, ingatlah bahawa ruang sentiasa ada untuk memperkembangkan diri ke tahap yang lebih baik. Sentiasa ada jawatan lain yang lebih tinggi untuk anda. Ini juga merupakan salah satu daripada motivasi kerja yang amat baik. Ada jawatan lebih tinggi di tempat anda kerja yang diumumkan dan ada juga yang tidak. Sentiasalah pamerkan kebolehan terbaik anda. Tumpuan kerja yang tinggi, sentiasa meningkatkan kemahiran dan membantu orang lain naik. Sekiranya kekosongan jawatan itu tiba nanti, cuba teka siapakah yang mereka paling harapkan? Seterusnya siapakah yang mereka cari agaknya?

- Bercakap perkara positif sahaja -
Saya percaya anda pernah menemui orang-orang ini – mereka yang suka membincangkan keburukan syarikat di dalam dan luar pejabat, menyebarkan kelemahan si A dan kekurangan si B atau mereka yang selalu bercakap negatif sehingga menjatuhkan semangat rakan lain seperti dirinya yang memang sudah tidak bersemangat itu lagi. Iya.. Adakalanya mereka ini rakan sekerja anda dan ada masanya mereka ini majikan (ketua) anda!
Selalu ada sisi baik dan sisi buruk di dalam mana-mana pejabat pun di dunia ini. Apa yang lebih penting, anda mesti latih diri berfikiran positif. Berkawanlah dengan orang-orang positif di tempat kerja anda yakni mereka yang mengutamakan prestasi kerja dan nilai persahabatan sebagai tunjang kehidupannya. Mereka inilah calon-calon orang yang berjaya, jadi jangan jauhi merka. Ambil suri teladan dan aplikasikannya ke dalam diri sendiri.

- Bersaing dengan rakan sekerja -
Walaupun saya menggunakan perkataan ‘bersaing’, itu bukanlah sama sekali bermaksud mengalahkan orang lain sehabis-habisnya sehingga menghancurkan hidupnya. Maksud saya, hanya bersaing di sudut yang tertentu sahaja. Dalam kes ini – prestasi dan kebolehan dalam bidang kerja.
Persaingan banyak manfaatnya jika digunakan secara positif. Ia boleh membawa kepada pencapaian yang membanggakan tanpa diduga kekadang. Selalu cuba menjadi yang terbaik daripada orang lain. Jika orang lain boleh jual kereta 10 buah dalam sebulan, anda jual 13 buah dan begitulah dalam pekerjaan-pekerjaan lain. Hanya saja, pastikan kemenangan anda adalah secara tulen dan tidak menjatuhkan orang lain. Anda pasti lebih terasa nikmat kemenangan itu.

- Kebanggaan diri dan pencapaian -
Di penghujung hari, tidakkah anda ingin pulang ke rumah dengan perasaan bangga pada diri? Bahawa anda sudah melakukan kerja dengan baik hari ini. Bahawa anda sudah melakukan yang terbaik. Bahawa anda sudah menunaikan tanggungjawab yang dipikul dengan cemerlang. Bahawa anda adalah salah seorang daripada pekerja terbaik yang pernah ada di tempat kerja anda.
Walaupun mungkin pekerjaan yang anda lakukan pada ketika ini bukanlah kerjaya idaman anda, pasti ada sebab anda melakukannya. Fokuslah pada sebab itu dan anda akan tahu apa yang patut dilakukan seterusnya. Andainya anda boleh pulang dengan rasa bangga yang sebenarnya terhadap pencapaian anda pada hari ini, maka anda sudah pun menjalani kehidupan ini dengan baik dan inilah salah satu daripada sebab anda berada di dunia ini.

Semoga dengan mengaplikasikan keenam-enam tips meningkatkan motivasi kerja ini, kecemerlangan anda akan berterusan. Dan bagi yang lain mungkin ini adalah titik permulaan kelahiran seorang pekerja bintang di tempat kerja anda.. icon smile
Jemput kongsikan pendapat anda di ruangan komen dan terima kasih kerana membaca post ini.

Sumber Asal: Tips-Tips Meningkatkan Motivasi Kerja Anda! - Julmazli Dot Com

No comments:

Post a Comment